1 / 2
SHAH ALAM - Gempar desas-desus di laman sosial media mengenai Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar  yang didakwa menuntut cerai daripada suaminya Raja Ahmad Sharir Iskandar Raja Salim, pada hujung tahun lalu.

Nurul Izzah adalah anak sulung kepada ketua pembangkang itu dikatakan telah membuat permohonan cerai secara fasakh menerusi satu tuntutan di sebuah mahkamah syariah hujung tahun lepas.

Memetik laporan The Star Online, rekod Mahkamah Syariah, Jalan Duta telah menunjukkan bahawa kes penceraian itu wujud dan tuntutan itu telah dilakukan pada Disember.

"Raja Ahmad Shahrir telah menerima petisyen itu pada 16 Januari lalu.

"Beliau telah minta penangguhan prosiding itu untuk melakukan persediaan itu," lapor The Star Online.

Dalam pada itu, laporan tersebut juga menyatakan pegawai mahkamah itu telah mengesahkan perkara itu.

Nurul Izzah, 33, dan pasangannya telah mendirikan rumah tangga pada Mei 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata yang berusia tujuh dan empat tahun.

Bagaimanapun,  Sinar Harian cuba mendapatkan pengesahan  daripada kerani mahkamah tersebut namun kerani terbabit tidak berani mengesahkannya.

Selain itu, Sinar Harian Online juga cuba untuk mendapat maklumat lanjut daripada beliau, namun talian tidak dapat dihubungi.

Selain itu, memetik laman Twitternya menjawab soalan daripada seorang pengikutnya, Nurul Izzah menafikan perkara tersebut.

"Tidak," tulisnya.

Sebelum ini, perkara yang mengaitkan Nurul Izzah dengan isu penceraian dengan pasangannya itu telah tercetus beberapa tahun lalu yang disebarkan oleh blogger.